YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM

peringatan untuk diri dan sahabat ku...


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Listen to the Quran


Wednesday, November 18, 2009

SEJARAH MAZHAB AL MATURIDIYAH DAN SALAFY WAHHABI

Al-Maaturidiyyah

Di sebelah timur negara Islam iaitu di daerah Maturid, wilayah Samarkand, lahir sarjana Islam yang bernama Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur Maturidi. Beliau lahir pada tahun 332 Hijrah. Beliau membawa aliran ideologi akidah dalam fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi beberapa penyelewengan pada zamannya. Beliau adalah sarjana Islam dalam mazhab Hanafi.

Beliau muncul di Asia Tengah pada waktu masyarakat Islam dilanda aliran ideologi yang menyeleweng daripada akidah yang sebenar. Antaranya mazhab Muktazilah, Mujasimah, Muhammad bin Karam Sajassatani iaitu pemimpin fahaman Karamiah, Qaramitah yang dipimpin oleh Hamdan As’ ad, Jaham bin Safuan iaitu pemimpin fahaman Jahamiah, dan ahli tasauf Husin bin Mansur al-Halaj. Imam Abu Mansur Maturidi membawa peranan yang besar bagi menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.

Walaupun beliau hidup sezaman dengan mazhab Imam Abu Hasan al-Asy’ ari, namun beliau mempunyai teknik berhujah dan huraian yang berbeza. Para sarjana Islam menyatakan, Imam Abu Mansur Maturidi lebih cenderung kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara akidah. Ini kerana beliau merujuk risalah-risalah dan buku-buku yang ditulis oleh Imam Abu Hanifah seperti Fikh Akbar, Fikh Absat, Kitab Ilm dan sebagainya.

Terdapat beberapa perselisihan antara Abu Mansur Maturidi dengan Abu Hassan al-Asy’ ari. Antaranya dalam isu Makrifatullah (mengenal Allah), Abu Hassan menyatakan wajib mengetahuinya menurut sumber agama tetapi Abu Mansur berkata wajib juga dengan berpandu dengan akal. Dalam isu sifat-sifat Allah, Abu Mansur menambah dengan sifat-sifat maknawiyah iaitu sifat yang menjadi penguat kepada sifat Ma’ani beserta sifat-sifat Madani. Fahaman Maturidiah mewajibkan hukum akal beserta syarak sehingga beliau berselisih dengan sebahagian sarjana Fikah dan Hadis. Terdapat lagi huraian-huraiannya berhubung Qadak dan Qadar dan lain-lain yang berbeza dengan huraian fahaman Asya’irah.

Abu Mansur Maturidi meninggalkan pusaka ilmu yang banyak selain membela fahaman Ahli Sunnah bagi menghadapi pelbagai fahaman yang menyeleweng. Pusaka ilmunya adalah murid-murid yang ramai dan pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara murid-muridnya adalah Abu Ahmad Iyad, Abu Qasim Hakim Samarkandi, Abu Hussin Wastaqfani, Abdul Karim bin Musa Inbazadari, Abu Asyimah Abi Lais Bakhari dan lain-lain. Antara pengikut-pengikut yang meneruskan alirannya adalah Sadar Islam Abu Yasir Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim Bazadui, Maimun bin Muhammad Nasfi yang dianggap tokoh sarjana terbesar dalam fahaman ini selepas Abu Mansur. Adakala sebahagian menganggap mereka adalah kumpulan kecil seperti Syaharsatani dalam fahaman Asya’irah, Najmuddin Abu Hafiz Samarqandi Nasqi, Nuruddin Ahmad bin Muhammad Syobuni, Bukamal bin Yam iaitu sarjana terbilang dalam fahaman Hanafi dan lain-lain lagi.

Buku-buku yang dikarang oleh Abu Mansur Maturidi adalah buku Jadal dan Ma ‘akhiz Syarai’. Kedua-dua buku ini membincangkan Usul Fikah. Buku-buku dalam ilmu ketuhanan antaranya, Tauhid, Muqalaat, Ra’du Ala Qawashat, Bayan Wahm Muktazilah, Ra ‘du Amamah Libaddu Rawafaz dan banyak lagi. Apa yang mendukacitakan, buku-buku itu hilang begitu sahaja. Buku yang masih tersimpan adalah buku Tauhid dan Maqalaat Selain itu ada buku-buku beliau dalam ilmu yang lain.

Abu Mansur Maturidi juga seperti Abu Hassan Asy’ari yang membawa pembaharuan dalam pengajian akidah. Beliau memasukkan hujah-hujah logik akal semasa menghadapi perkembangan fahaman baru yang timbul pada zamannya. Pada zaman para sahabat dan generasi awal kalangan tabi” in termasuk imam-imam mujtahidin yang pertama lebih bergantung kepada hujah-hujah teks daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad sahaja.

Salafiah

Selepas lahir pelbagai teori mengenai akidah, lahir fahaman-fahaman yang bukan sahaja berhujah dengan logik tetapi juga menggunakan falsafah. Maka lahir pula dalam masyarakat Islam orang-orang yang mahu supaya kembali pada sumber asal sahaja. Mereka muncul pada zaman terkini iaitu pada kurun ke tujuh Hijrah. Sebenarnya, mereka adalah daripada aliran Imam Ahmad bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Tokoh yang terkemuka adalah Imam Ibnu Taimiyah. Beliau dan pengikut-pengikut menentang keras golongan yang cuba menghurai ayat-ayat yang mutashabihat. Golongan ini mahu supaya ayat-ayat yang mutashabihat tidak dihurai. Mereka hanya menyebut sifat-sifat Allah berpandukan teks-teks yang jelas dalam al-Quran dan hadis. Antara ayat-ayat yang mutashabihat seperti nuzul (turun), istiwak (bersemanyam), al-dhahaq (ketawa) dan lain-lain dengan tidak menyamakan Allah dengan makhluk. Selain itu, mereka membangkitkan kembali isu amalan masyarakat dengan huraian-huraian yang panjang mengenai dengan perkara-perkara yang membawa kepada syirik, seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam perkara tawassul (mohon perantaraan), ziarah kubur dan sebagainya.

Mereka juga tegas menentang penggunaan ilmu logik menyebabkan golongan salaf yang baru ini bergeser dengan fahaman Asya’irah dan Maturidiah yang menjadikan ilmu logik sebagai sebahagian daripada perbincangan akidah. Golongan salaf ini menolak huraian ayat-ayat mutashabihat yang dilakukan oleh Asya’irah dan Maturidiah. Ibnu Taimiyah yang hidup pada abad yang ketujuh Hijrah menjadi tokoh terkemuka dengan mengemukakan hujah-hujah melalui buku-buku yang karangannya.
Oleh kerana aliran ini dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad. Beliau ingin perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti zaman Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’in. Walaupun ada cabaran baru yang tidak ada pada zaman mereka, kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu digunakan bagi menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan sebagainya.

Wahabiah

Fahaman Wahabi yang tersebar di Arab Saudi dan beberapa daerah dalam dunia Islam ditaja oleh pemimpinnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ia adalah kesinambungan daripada aliran salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab mendapat kekuatan apabila beliau bergabung dengan keluarga Ibnu Saud. Akhirnya, mereka berjaya mengambil alih kuasa di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan beraja Arab Saudi.

Fahaman Wahabi dengan tegasnya mengemukakan dua prinsip yang penting iaitu tauhid yang bersih dari sebarang syirik, dan menghalang sebarang bentuk bid’ah (ajaran baru). Halal dan haram diambil terus daripada sumber al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Sebarang perkataan sarjana Islam perlu dikaji semula, lalu mereka membuka kembali ruang mengeluarkan hukum dengan luas. Mereka menentang ziarah kubur wali-wali dan menganggap amalan ini membawa kepada syirik. Namun, hukum berbeza apabila menziarahi kubur bagi tujuan mengambil pengajaran dan memperingati hari akhirat bukannya dengan tujuan berdoa kepada si mati atau bertawassul melalui orang yang sudah mati. Semasa mereka menguasai Mekah dan Madinah, mereka bertindak merobohkan bangunan-bangunan yang didirikan atas kubur-kubur para sahabat, para tabi’in dan tempat-tempat bersejarah yang dipuja secara melulu.

Mereka menentang perayaan seperti maulid (sambutan hari lahir) dan sebagainya yang tidak ada pada zaman Nabi Muhammad dan mengemukakan beberapa pendapat yang lebih keras daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiyah. Fahaman ini disokong oleh gerakan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir, Syeikh Abdul Hamid bin Badis di Algeria, Syeikh Ahmad di Punjabi, India dan beberapa tempat lagi dunia Islam.

KESIMPULAN MAZHAB AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Kesemua mereka yang disebut di atas adalah daripada golongan Ahli Sunnah wal Jamaah. Walaupun terdapat pertelingkahan dan perselisihan yang keras dan tajam antara satu sama lain, namun pertelingkahan itu tidak tersasar daripada dasar-dasar akidah. Walau bagaimanapun, ia boleh membawa kesan-kesan buruk dalam hubungan sesama umat Islam. Perselisihan pendapat dan pentafsiran itu adalah perbezaan fahaman dalam mentafsirkan teks yang sama dan kadang-kadang kerana perbezaan masa dan tempat serta cabaran yang dihadapi dan keperluan hujah bagi menghadapi cabaran luaran.

Dengan kemudahan sumber-sumber rujukan dan hubungan yang ada pada zaman ini menghidupkan semula persefahaman sesama aliran. Pada masa yang sama ia tidak dihabiskan dengan pertelingkahan sesama sendiri tetapi lebih memberi tumpuan bagi menghadapi masalah pokok yang melanda umat Islam dan menentang musuh yang sebenarnya.

Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
10 November 2006


Sejarah Kemunculan Mazhab Al-Asyairah

Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman yang berpandukan logik. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Walau apapun berlaku, Allah berjanji memelihara agamanya dengan melahirkan sarjana yang mempertahankan akidah yang tulen. Antara sarjana-sarjana itu adalah Imam Abu Hasan al-Asy’ari.

Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Beliau pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali aljubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy” ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.

Antara teori Abu Hasan al-Asy’ari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci iaitu:
1. Ada
2. Bersedia
3. Kekal
4. Berlawanan dengan sesuatu yang baru
5. Berdiri dengan sendirinya
6. Satu
7. Berkuasa
8. Berkehendak
9. Mengetahui
lO.Hidup
11. Mendengar
12.Melihat
13.Berkata-kata

Beliau juga menghuraikan perkara taklid iaitu mengambil pendapat orang lain tanpa hujah yang menguatkannya ataupun tidak dalam perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat itu. Beliau menghuraikan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan pada rukun-rukun iman.

Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain. Ideologi ini juga didokong oleh sarjana-sarjana di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Antara mereka adalah al-Asfaraini, al -Qafal, aljarjani dan lain-lain sehingga sekarang.

Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’ irah. Di samping itu, lahir tokoh sarjana Islam yang menyambung aliran fahaman ini seperti Abu Abdullah bin Mujahid, Abu Hasan al-Bahili, Abu Bakar bin al-Taib al Bakilani, Abu Bakar bin Furak, Abu Ishak al-Asfiraini, Abu Muhammad aljuwaini, Abu Mazfir al-Asfaraini, Imam al-Haramain aljuwaini, Hujah Islam Imam al-Ghazali, dan Imam Fakruddin al-Razi.

Imam Abu Hasan al-Asy’ari juga meninggalkan beberapa buku yang dikarangnya dan yang masih ada pada zaman sekarang antaranya Al-Ibanah Min Uslul Diniati. Dalam buku ini, beliau menyokong dengan tegas kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera oleh kerajaan Abbasiah yang menyokong Muktazilah pada zamannya. Begitu juga dalam buku AJ-Luma ‘ Fir Raddi ‘Ala Ahlil Zaighi wal Bid ‘i beliau mendedahkan hujah logik dan teks. Buku Maqalatul Islamiyiin mendedahkan fahaman-fahaman yang timbul dalam ilmu Kalam dan menjadi rujukan penting dalam pengajian fahaman-fahaman akidah. Buku Istihsan al-Khaudhi Fil Ilmu Kalam pula adalah risalah kecil bagi menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu Kalam.

Walaupun ada di kalangan sarjana Islam terutamanya di kalangan mazhab Hanbali yang menyanggah beberapa hujah dan kaedah yang dibawa oleh Abu Hasan Asy’ ari, ia tidak menafikan jasanya mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematikan hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh iaitu membicarakan al-Quran sebagai kata-kata Allah yang kekal, isu melihat Allah pada hari Kiamat, membetulkan perkara yang berhubung dengan Qadak dan Qadar dan lain-lain dan menjadi golongan pertama yang menamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di tengah-tengah kelahiran pelbagai fahaman pada zamannya.

Imam Abu Hasan Asy’ari meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah dengan meninggalkan pusaka ilmu yang terdiri daripada buku-buku karangan beliau serta murid-murid yang meneruskan perjuangannya. Akhirnya, ia meninggalkan aliran pengajian akidah yang dianuti oleh sebahagian besar umat Islam hari ini dalam melanda cabaran-cabaran baru yang tidak ada pada zamannya. Seterusnya aliran ini memerlukan pembaharuan lagi dalam mengemukakan hujah-hujah kontemporari bagi mempertahankan akidah yang sebenar.

Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
20 Oktober 2006

Ahlul Sunnah Wal Jamaah


Mereka adalah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka. Generasi paling awal dan utama di kalangan mereka adalah para sahabat, kemudian diikuti oleh para tabi’in dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka. Generasi pertama di kalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar mutashabihat) dan menyerah maksudnya kepada Allah. Ini berpandukan kepada kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 7,

“Dia lah Yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan Yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham Yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa Yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut Yang disukainya). padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang Yang berfikiran.”

Pada zaman awal, mereka tidak banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu banyak berhujah tentang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan para sarjana Islam, sahabat dan tabi’in.

Mereka itu terdiri daripada pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat dengan mendalami ilmu agama dalam berbagai-bagai bidang, seperti akidah yang berkaitan dengan perkara-perkara beriman kepada Allah, perkara-perkara kenabian dan risalah, dan rukun-rukun iman yang lain, mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada pula yang memberi perhatian khusus dengan merekod sanad iaitu turutan penyampai yang dipercayai daripada Nabi Muhammad bagi menjamin keselamatannya daripada kepalsuan. Ada yang mendalami ilmu qiraat. Ada vang sibuk dengan perkara-perkara membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dikenali dengan golongan tasauf. Ada yang menghabiskan umur berjihad di medan perang mempertahankan Islam dan memerangai musuh-musuhnya. Ada yang sibuk dengan ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu (tatabahasa), sorof, balaghah, sastera dan sebagainya yang menjadi alat penting bagi mempelajari agama dengan bahasanya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka adalah pengikut setia kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalam perkara pemerintahan mereka bersepakat menegaskan wajibnya melantik khalifah sebagai memimpin umat dan melaksanakan hukum Allah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad semasa hayatnya. Mereka juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraish kerana golongan itu paling kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah itu mesti melafazkan bai ‘ah iaitu ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan rasulnya. Lafaz ikrar setia ini dilakukan oleh umat Islam atau wakil mereka yang dinamakan Ahlu Halli wal Aqdi. Mereka berpendapat, mesyuarat dianjurkan dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlu Halli wal Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara itu mesti adil daripada pengaruh peribadi mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi ukuran adil itu adalah kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad.

Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi semuanya, mengakui keempat-empat khalifah ar-Rasyidin adalah orang yang paling layak pada zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam pertelingkahan dan peperangan yang berlaku di kalangan mereka. Ini kerana jasa mereka besar bagi menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran surah al- Hasyr, ayat 10,

“Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata, “Wahai Tuhan kami! Ampuni kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah engkau menjadikan dalam hati kami perasaan hasat dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya engkau amat limpah belas kasihmu dan maha penyayang.”

Generasi pertama ini tidak menamakan diri mereka dengan nama-nama fahaman tertentu. Ini kerana umat Islam pada masa itu bersatu daripada segi hidupnya, para sahabat yang masih hidup menjadi tumpuan bagi bertanya masalah. Amalan ini juga berlaku pada zaman para tabi’in. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat, sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad tanpa sebarang tokok tambah dan menghuraikan secara meleret-meleret.
Kesemua imam mazhab yang terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hambal, Sufian as-Sauri dan lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.

Mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah
Syarah Kitab Lahirnya Beberapa Firqah Di Kalangan Umat Islam
Kuliyah Jumaat 13 Oktober 2006
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

Friday, November 13, 2009

PENYELEWENGAN FAKTA DI DALAM BUKU "SALAFIAH WAHHABIAH"

Dari Blog Dr Asri

Beberapa hari yang lalu, saya terbaca sebuah buku dalam bahasa melayu yang baru diterbitkan dengan tajuk “Salafiyah Wahabiyah: Suatu Penilaian” karya ZAMIHAN BIN MAT ZIN AL-GHARI.

Amat mengejutkan saya, apabila buku ini penuh dengan penyelewengan fakta dan fitnah terhadap Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. dan para ulama yang lain.

Maka saya merasa terpanggil untuk membuat sedikit ulasan ringkas mengenai buku yang sarat dengan penipuan fakta itu. Tujuan saya di sini, bukan untuk mempertahankan salafi atau wahabi, kerana itu bukanlah suatu topik utama.

Setiap aliran boleh dikritik ataupun dipuji, namun mestilah berdasarkan batas-batas amanah ilmu dan adil dalam hukuman, seperti yang dituntut oleh al-Quran. Al-Imam Ibn Taimiyyah bukanlah seorang yang maksum seperti seorang rasul, sehingga tiada sebarang kesilapan fakta. Dia seperti imam-imam lain juga, ada pendapatnya yang kuat dan ada yang lemah.

Namun penulis buku tersebut telah menjadikan cacian, penghinaan, fitnah dan pembohongan fakta sebagai metodologi penulisannya. Ini adalah sesuatu menyanggahi ajaran Islam yang suci dan bersih.

RACUN SYI`AH Penulis buku ini mengaku beliau adalah pengikut Hasan bin `Ali al-Saqqaf (السقاف) dari Jordan. Perkataan al-Saqqaf pada namanya bererti beliau berasal dari keluarga tersebut. Di Malaysia keluarga ini di sebut sebagai Assagoff.

Hasan al-Saqqaf yang menjadi guru penulis berkenan, di kalangan yang mengenalinya menyatakan dia seorang agak pro-syiah. Dia mengkafirkan para sahabah yang terlibat dalam peperangan dengan ‘Ali. Sepertimana ada di kalangan rumpun tersebut di Malaysia dan nusantara, yang berpegang kepada Syi`ah. Beliau cuba menonjolkan diri bahawa beliau seorang ahli Sunnah dan bermazhab al-Imam al-Syafi`i. Dalam masa yang sama beliau selalu menghentam secara lisan para sahabah yang terlibat dalam peperangan menentang Saidina `Ali.

Sementara dalam bukunya, Sahih Sifat Salat al-Nabi beliau menyebut: “Maka jelas bahawa hadith (kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan) “kitab Allah dan kaum keluargaku (Nabi s.a.w.)” itulah yang sahih lagi thabit di dalam Sahih Muslim, adapun lafaz (berpegang) dengan kitab Allah dan sunnahku” adalah batil dari segi sanad dan tidak sahih. Maka hendaklah para khatib, penceramah dan imam meninggalkan lafaz ini..”1

Dalam buku Salafiyyah Wahabiyyah, penulisnya mencatitkan nasihat gurunya itu, dengan katanya: “Aku berpesan kepada engkau agar beriltizam dengan jalan ahli al-Haq dan Ahli Bait (kaum keluarga)”(m.s. ijazah am). Hasan al-Saqqaf juga memarahi Ibn Taimiyyah kerana menyatakan para ulama sepakat bahawa Saidina Abu Bakar dan `Umar lebih afdal daripada Saidina `Ali.

Muridnya yang menulis buku ini turut membuat bantahan yang sama dalam buku tersebut2. Walaupun begitu cuba menyembunyikan racun Syiahnya, tetapi ianya tetap dapat dihidu oleh orang lain.

Oleh kerana di dalam Ahli Sunnah, Ibn Taimiyyah adalah tokoh yang paling hebat mempertahankan aqidah ahli sunnah dan menyerang hujah-hujah Syi`ah, maka cara terbaik untuk mempertahankan Syi`ah ialah dengan menghentam habis-habisan Ibn Taimiyyah. Hentaman itu pula akan dilihat lebih mantap dengan menggunakan nama ahli sunnah itu sendiri. Ini dengan cara diselewengkan fakta-fakta ulama, membuat pengkhianatan ilmiah dan membohongi pembaca yang tidak mampu membuat penyelidikan.

Tokoh pendakwah Islam yang terkenal di kurun ini, Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi berkata dalam bukunya yang ditulis khas mengenai sejarah perjuangan Ibn Taimiyyah sebagai tokoh pemikir dan dakwah yang terbilang, bertajuk “Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah (الحافظ أحمد بن تيمية):”Sesungguhnya al-Imam Ibn Taimiyyah telah bangkit menjawab Syi`ah dalam banyak tempat dalam buku-bukunya. Dia telah benar-benar menunaikan tanggungjawab dengan kuatnya mempertahankan sunnah, aqidah ahli sunnah, al-khulafa al-rasyidin dan para sahabah yang mulia r.a. Di samping itu dia mengkhususkan menjawab Syi`ah dalam sebuah kitab khas, dinamakan “Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah”3 (ertinya: Jalan Sunnah Nabi dalam menolak pendapat Syi`ah dan Qadariyyah).

Maka kita akan dapati Hasan al-Saqqaf begitu marah kepada buku “Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah منهاج السنة النبوية في نقد كلام الشيعة والقدرية., karya agung Ibn Taimiyyah tersebut. Namun beliau mempertikaikan dengan caranya yang seolah-olah membela ahli sunnah.

Dalam buku “Salafiyyah Wahabiyyah”, penulisnya juga menghentam kitab Ibn Taimiyyah tersebut berkali-kali sebagai mengikut jejak langkah gurunya itu dengan tuduhan sesat dan seumpamanya.

Kata Maulana Abu al-Hasan al-Nadwi lagi: “Sesiapa yang ingin melihat lautan ilmu Ibn Taimiyyah, keluasan pandangannya, penguasaannya, kekuatan hafalannya, ingatannya terhadap masalah-masalah (yang di bahaskan), kematangannya, ketelitiannya, kebijaksaannya dan kegemilauannya, maka bacalah kitab tersebut.4 Cubalah lihat perbezaan dan bandingkan antara dua sikap, Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi r.h. seorang tokoh umat dan pemdakwah yang dikagumi. Sementara yang seorang lagi seorang yang mengaku ahli-sunnah, namun menyembunyikan racun Syi`ahnya. Ini diikuti oleh murid melayunya yang menulis buku Salafiyah Wahabiyah.

Saya meyakini penulis buku tersebut tidak membuat sebarang kajian melainkan menceduk sepenuhnya dari gurunya itu dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Sesiapa yang membaca penulisan Hasan al-Saqqaf, akan mengetahui bahawa beliau menjadikan pembohongan fakta sebagai mainan tulisannya. Ini diikuti oleh murid melayu tersebut. Maka pengkhianatan ilmu jelas pun berlaku . Pengkhianatan yang diwarisi dari sikap para penulis yang terikut-ikut dengan rentak orientalis dan tokoh-tokoh Syi`ah. Saya akan perlihatkan contoh-contohnya untuk para pembaca secara ringkas.

MEMFITNAH PARA ULAMA

Pada muka surat 70-76, beliau menyenaraikan pertentangan pendapat para imam-imam ahli sunnah dengan Ibn Taimiyyah. Lalu beliau memetik nas-nas para imam berkenaan yang bukan ditujukan kepada Ibn Taimiyyah. Antaranya, al-Imam al-Nawawi الإمام النووي yang meninggal pada tahun 676 hijrah, sedangkan Ibn Taimiyyah lahir pada tahun 661 hijrah. Beliau tidak mengenali Ibn Taimiyyah.

Begitu al-Imam Ibn al-Jauzi الإمام ابن الجوزي yang meningga pada tahun 598 hijrah. Beliau juga meletakkan tajuk “Percanggahan pendapat Ibn Taimiyyah dengan Imam al-Hafiz al-Sayuti”5. Sedangkan Ibn Taimiyyah telah meninggal 121 tahun sebelum kelahiran al-Sayuti السيوطي pada tahun 849H. Kemudian beliau memetik nas al-Sayuti yang tiada kena mengena dengan Ibn Taimiyyah. Dengan cara ini pembaca akan menyangka al-Imam Sayuti (meninggal 911 hijrah) dalam hayatnya tidak sukakan Ibn Taimiyyah. Sedang al-Imam Sayuti memasukkan Ibn Taimiyyah dalam senarai huffaz hadith (para hafiz hadith), dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz طبقات الحفاظ, al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut:

“Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syaikh al-Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini,..salah seorang tokoh terbilang..memberi perhatian dalam bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadith (kecacatan tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan..”6.

Demikian juga penulis Salafiyah Wahabiyah, meletakkan tajuk “Pencanggahan Pendapat Ibn Taimiyyah dengan Imam al-Zarqani”7.

Beliau memetik ungkapan al-Zarqani yang tiada kena mengena dengan Ibn Taimiyyah daripada kitab Manahil al-`Urfan مناهل العرفان . Beliau cuba menggambarkan pertentangan yang sebenarnya tidak wujud sama sekali.
Sebaliknya dalam kitab itu sendiri penulis Muhammad `Abd a-`Azim al-Zarqani, banyak memetik pendapat Ibn Taimiyyah dengan hormatnya.
Pada semakan saya, sebanyak lima kali al-Zarqani memetik pendapat Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya tersebut. Pada cetakan yang pada tangan saya ialah pada jilid pertama muka surat 78 dan 90, pada jilid kedua pada muka surat 162, 192, 2028.
Bahkan muka surat 202 beliau menamakan Ibn Taimiyyah sebagai Syeikh al-Islam, katanya: “Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Khilaf di dalam tafsir itu ada dua jenis….” .
Lihatlah betapa penulis Salafiyyah Wahabiyyah ini ternyata melakukan pembohongan terhadap para ulama dan pengkhianatan terhadap ilmu.

FITNAH DAN PENGKHIANATAN

Lebih dahsyat daripada itu, pembohongan dalam muka surat 127 terhadap al-Imam Hajar al-`Asqalani, sehingga menggambarkan seolah-seolah Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani الحافظ ابن حجر العسقلاني (meninggal 852H) dalam Al-Durar al-Kaminah الدرر الكامنة mempertikaikan `aqidah Ibn Taimiyah.
Penulis Salafiyah Wahabiyah tersebut menyelewengkan terjemahan seperti berikut: “para ulama telah menggelarkan Ibn Taimiyyah dengan tajsim berdasarkan apa yang telah beliau tulis., Ibn Hajar menambah lagi: “dia dihukum dengan munafiq kerana perkataannya terhadap Saidina `Ali”.

Saya tidak pasti, apakah beliau tidak dapat memahami bahasa `arab, atau sengaja melakukan pengkhianatan. Sebenarnya, terjemahannya sepatut begini:
“Orang ramai telah berbeza pendapat mengenainya kepada beberapa golongan, di kalangan mereka, ada yang mengaitkannya dengan tajsim…di kalangan ada yang mengaitkannya dengan nifaq ومنهم من ينسبه إلى النفاق”.”.
Kemudian Ibn Hajar meneruskan ceritakan mengenaikan fitnah yang dikenakan kepada Ibn Taimiyah itu, sehingga beliau menyebut:”Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat Allah.
Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan di dalam dada.
Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang kerandanya sehingga patah kayunya”9.

Lihatlah niat buruk penulis untuk mengkhianati ulama dan menipu para pembaca yang tidak mengetahui bahasa arab. Lain yang maksudkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani, lain pula yang digambarkannya. Orang yang berbohong seperti ini, tidak diterima penyaksiannya.

Penulis Salafiyah Wahabiyah, juga cuba membohongi pembaca dengan menggambarkan seolah-olah al-Imam al-Zahabi (meninggal 848 hijrah), yang juga salah seorang murid utama Ibn Taimiyyah, mempertikaikan Ibn Taimiyyah, demikian juga al-Imam al-Subki yang hidup di zaman itu, yang menjadi murid kepada al-Zahabi.
Beliau menyembunyikan apa yang al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani sebut dalam kitabnya di atas, al-Durar al-Kaminah.

Sebenarnya al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani, selepas mencerita sejarah kewafatan Ibn Taimiyyah, memetik ucapan al-Imam al-Zahabi yang memuji-muji gurunya Ibn Taimiyyah, sehingga kata Ibn Hajar: “Al-Zahabi telah menulis surat kepada al-Subki, lantas memarahinya di atas perkataannya terhadap Ibn Taimiyyah. Al-Subki menjawabnya, antara jawapannya:
”Adapun apa yang tuan katakan mengenai al-Syeikh Taqiyuddin (Ibn Taimiyyah), maka hamba ini (saya) telah pun pasti ketinggian kemampuannya, limpahan dan keluasan lautan ilmunya dalam naql (al-quran dan al-Sunnah) dan akal, kehebatan kebijaksanaan dan ijtihadnya, juga dia mencapai kesemuanya itu lebih dari yang disifatkan. Hamba ini (saya) sentiasa akan mengakuinya.
Nilaiannya (Ibn Taimiyyah) pada diri ini, lebih besar dan mulia dari segalanya. Dengan apa yang telah Allah himpunkan padanya dari sifat zuhud, warak, kuat beragama, membela dan menegakkan agama kebenaran semata-mata kerana Allah.
Dia melalui perjalanan ulama salaf dengan sepenuhnya, sangat asing orang sepertinya pada zaman ini bahkan di mana-mana zaman pun”. Sehinggalah Ibn Hajar menyebut: “Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya..” sehinggalah beliau megelarnya sebagai “Syeikh al-Islam”10.

Bahkan al-Zahabi menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz تذكرة الحفاظ yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadith. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syeikh al-Islam, antara katanya: “Ibn Taimiyyah: seorang syeikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadith), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah Syeikh al-Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang”11.
Demikian cara pembohongan dan penyembunyian fakta dalam buku Salafiyah Wahabiyah tersebut. Bahkan penulisnya meniru lagak gurunya, mempersendakan sesiapa yang menamakan Ibn Taimiyyah dengan Syeikh al-Islam.
Kemudian mengkhianati fakta dengan memutar belitkan tulis-tulis tokoh ulama. Perbuatan ini bukan sekadar memfitnah Ibn Taimiyyah, tetapi memfitnah sekelian ulama yang lain.
Inilah suatu sikap yang diwarisi dari Syi`ah dan ianya sangat buruk. Lihat lagi dalam muka surat 132 dan ke atas, buku penulis buku ini cuba menggambarkan seolah-seolah, al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah r.h. juga tidak menyukai Ibn Taimiyyah berdasarkan kitabnya Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah تاريخ المذاهب الإسلامية.

Sebenarnya sesiapa yang membaca buku tersebut akan melihat bagaimana Muhammad Abu Zahrah memuji dan membela Ibn Taimiyyah. Bahkan Muhammad Abu Zahrah menulis buku khas dengan tajuk “Al-Imam Ibn Taimiyyah”, membela dan memuji sejarah perjuangannya.

Maka jelas, ini adalah satu pembohongan terhadap al-Syeikh Abu Zahrah, yang merupakan tokoh besar di zaman kita ini. Lihatlah petikan sebenar daripada kitab Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, kata Syeikh Muhammad Abu Zahrah ketika selesai menceritakan sejarah Ibn Taimiyyah:
”Demikian itu kita lihat pendirian Ibn Taimiyyah terhadap al-Nasir (pemerintah di zamannya) sama seperti pendirian (al-Imam) Izzu al-Din `Abd al-Salam dan Muhyi al-Din al-Nawawi (al-Imam Nawawi).
Maka berterusanlah rangkaian para ulama yang membela Islam. Bahkan Ibn Taimiyyah melebihi mereka berdua kerana dia menghunuskan pedang di medan jihad. Dia telah diberi ujian dengan sebab pandangan-pandangannya dalam agama. Dia meninggal dalam keadaan Allah meredhainya, dalam penjara yang sempit, semoga Allah meredhai dan memuliakan tempat tinggalnya (syurga) dan mengurnianya sebaik-baik balasan di atas sumbangannya kepada ilmu dan Islam”12.

Adapun Zahid al-Kauthari (meninggal 1371H), yang lahir di Istanbul, memang tidak menyukai Ibn Taimiyyah. Tetapi itu semua bukan satu hujah yang diterima sebagai bukti Ibn Taimiyyah tertolak. Apatah lagi Zahid al-Kauthari terkenal sebagai seorang yang sangat ta’sub kepada mazhab Hanafi, juga tidak amanah terhadap petikan-petikan ilmiah.

Beliau pernah mempertikaikan nasab al-Imam al-Syafi`I, menuduh al-Imam Ahmad sebagai seorang yang tidak faqih, memfitnah Ibn Hajar al-`Asqalani sebagai “kaki perempuan” dan berbagai tuduhan liar terhadap para ulama yang lain.

Ahmad bin Muhammad al-Siddiq al-Ghumari الصديق الغماري menghimpunkan penyelewengan-penyelewengan fakta dan cerca-cercaan ini di dalam kitabnya Radd al-Kauthari `ala al-Kauthari رد الكوثري على الكوثري.

Maka tidaklah hairan jika orang seperti ini menghina dan memfitnah Ibn Taimiyyah. Al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah r.h pernah menjadi murid al-Kauthari, beliau juga menolak cercaan Kauthari terhadap Ibn Taimiyyah, katanya.:
“Bukti yang kuat (bahawa aku tidak membenci Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim) ialah aku telah penuhi kitab-kitabku dan ulasan-ulasanku dengan pendapat-pendapat Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan al-Imam Ibn Qayyim-semoga Allah merahmati keduanya-.
Aku telah berkhidmat untuk kitab-kitab al-Imam Ibn al-Qayyim dengan menyebar dan mentahqiqkannya, -seperti yang telah disebutkan-. Aku juga telah menyokong dan membela mereka berdua.
Aku menyebut mereka dengan penuh sanjungan dan hormat pada berpuluh-puluh tempat di dalam kitab-kitabku. Sepertimana yang jelas sebelum ini tanpa sebarang keraguan lagi.

Adapun al-Syeikh al-Khauthari r.h., semoga Allah mengampuni kita dan juga dia, tidak menyukai kedua imam ini. Itu adalah pandangan dan ijtihadnya. Sekiranya aku ini berpegang dengan setiap yang dia kata, tentu aku juga akan tidak menyukai kedua mereka (Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan al-Imam Ibn al-Qayyim) lalu mengikuti sikapnya terhadap mereka berdua –Allah rahmati keduanya-.

Namun apa yang berlaku membuktikan sebaliknya….” Sehingga katanya “..segala puji bagi Allah yang telah mengurniakanku dapat membezakan antara yang pendapat yang boleh diterima dan ditolak. Aku akan mengakui apa yang aku lihat benar berdasarkan kefahamanku, sekalipun ianya datang dari seorang yang rendah kedudukannya. Aku akan tinggalkan apa yang aku dapati menjauhi kebenaran, sekalipun ianya datang dari tokoh yang lebih besar dari al-Kauthari, yang terdiri daripada para ulama yang masyhur.
Sekalipun aku seorang pengikut, segala puji bagi Allah di atas kurniaannya, namun tiada seorang pun yang mengikut segala-galanya, melainkan dia seorang yang ta`asub ataupun seorang yang bodoh”13.

Apa yang dinyatakan itu terbukti dalam banyak tempat di dalam penulisan al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah ini, antaranya, ketika mentahqiq (mengulas) kitab Qawa`id fi `Ulum al-Hadith قواعد في علوم الحديث oleh Zafar Ahmad al-Uthmani al-Tahanawiالتهانوي Apabila beliau mendapati ada perkataan yang kurang tepat kepada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, al-Syeikh Abu Ghuddah menulis surat kepada al-Tahanawi, dan menegurnya. Al-Tahanawi menjawab surat itu dengan katanya: “Aku pernah menyuruh seorang sahabatku untuk memadamkan ungkapan tersebut yang berkait dengan al-Imam Ibn Tamiyyah r.h., tetapi dia terlupa, dan syaitan melupakan aku untuk mengingatkannya. Kamu semua padamkanlah ungkapan itu dan tulis pada nota kakinya: “Sesungguhnya penulis telah menarik balik ungkapan tersebut, itu adalah dari kegelinciran penanya, dia telah beristighfar dan bertaubat kepada Allah mengenai adab yang buruk terhadap para imam Islam, antaranya al-Imam Ibn Taimiyyah al-Harrani, Syeikh al-Islam, semoga Allah merahmatinya serta memasukkannya dan kita juga ke dalam Dar al-Salam (syurga)”14.

Memang benar, adanya para ulama silam yang mempertikaikan Ibn Taimiyyah di atas salah faham mereka.
Namun bagi sesiapa yang mempelajari ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil الجرح والتعديل (mempertikai atau mengangkat kedudukan seseorang rawi) perkara seperti ini adalah fonomena biasa.

Al-Imam al-Bukhari r.a. sendiri pada hayatnya dipertikaikan akidahnya oleh gurunya sendiri, iaitu Muhammad bin Yahya al-Zuhli yang merupakan juga tokoh hadith dan ulama Naisabur sehingga al-Imam al-Bukhari terpaksa meninggalkan negeri Naisabur.
Al-Imam al-Bukhari dituduh bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk
Kita yakin bahawa tuduhan yang dikenakan kepada al-Imam al-Bukhari tidak benar dan itu hanyalah salah faham. Kisah ini disebut dengan banyak dalam kitab-kitab ilmu hadith.

Untuk kemudahan, pembaca boleh merujuk kitab al-Ta’rif bi Kutub al-Sittah, oleh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah. Al-Imam al-Bukhari pula dalam hayatnya mempertikaikan kedudukan Abu Hanifah r.a., imam mazhab Hanafi. Al-Imam Al-Nasai juga menghukum Abu Hanifah sebagai dhaif.
Tokoh ilmu rawi iaitu al-Yahya bin Ma`in pula mempertikaikan keperibadian al-Imam al-Syafi`i. Ini semua berlaku kerana salah faham dan maklumat yang tidak tepat.
Adapun kita ini, yakin kepada kethiqahan (dipercayai) semua imam-imam tersebut. Kita tidak dapat menerima semua pertikaian itu, kerana ini akan meyebabkan ramainya para imam tertolak. Kalau kita hanya melihat kepada satu pandangan sahaja tanpa kajian, sekalipun pandangan itu datang dari tokoh yang besar seperti al-Bukhari dan Yahya bin Ma`in, tentu kita akan tersilap hukuman terhadap para imam yang lain.

Para ulama hadith telah membincangkan persoalan seperti ini pada berbagai tempat di dalam kitab mereka. Antaranya, apa yang dibahaskan oleh al-Imam Anwar Shah al-Kasymiri dalam kitabnya Faidh al-Bari `ala Sahih al-Bukhari فيض الباري على صحيح البخاري dalam jilid pertama di dalam bab Al-`Ilm qabl al-Qaul wa al-`Amal (cetakan Deoband, India). al-Subki menyebut dalam Tabaqat al-Syafi`iyyah: “tiada seorang imam pun melainkan ada yang mencercanya”.

Dengan itu maka para ulama hadith mensyaratkan tajrih (mempertikaikan rawi) mestilah mufassar iaitu dinyata bukti kesalahan yang diterima. Hal yang sama telah menimpa Ibn Taimiyyah perkara ini bertambah buruk apabila musuh-musuhnya dari kalangan Syi`ah dan golongan tarikat sufi yang melampau menabur fitnah yang begitu dahsyat. Dengan harapan, jatuhnya Ibn Taimiyyah, dapatlah bermaharajanya kesesatan.

Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi, dalam bukunya tadi telah menceritakan bagaimana golongan yang sesat berusaha menyebabkan Ibn Taimiyyah dipenjarakan. Apabila beliau dipenjarakan, maka mereka kembali berani untuk menyebarkan kesasatan mereka.
Maka, para ulama pada zaman itu mula sedar betapa besar dan pentingnya peranan Ibn Taimiyyah. Mereka mula menulis surat, merayu dan membelanya di hadapan pemerintah, sehingga al-Nadwi menyebut: “Ahli bid`ah dan hawa nafsu yang dahulu cuba untuk menonjolkan diri sebagai bermazhab ahli sunnah, untuk menipu para pemerintah dan hakim (agar menangkap Ibn Taimiyah). Sebaik sahaja berjaya penipuan mereka, maka nampaklah kejahatan mereka pada orang ramai dan mulalah mereka menonjol dan tidak bersembunyi lagi”. (m.s. 93-94).

Nampaknya sejarah tersebut, cuba untuk ditimbulkan semula oleh golongan yang bertopengkan ahli sunnah pada kebelakangan ini.

Jika kita perhatikan tokoh-tokoh umat pada zaman lalu dan kini, mereka banyak mengambil manfaat daripada khazanah Ibn Taimiyyah. Lihat al-Nadwi yang saya sebutkan di atas. Demikian juga al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut dalam bukunya Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah:
“Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku” (m.s. 170, cetakan: Dar al-Wafa, Mesir)

Sebenarnya, golongan yang ingin supaya orang ramai menghukum Ibn Taimiyah sesat, kufur dan seumpamanya itu sedar, bahawa jika langkah ini berjaya maka sebahagian besar tokoh-tokoh umat dapat dileburkan, dan khazanah umat dapat dihancurkan.

Antara murid terbesar Ibn Taimiyyah ialah al-Imam Ibn Kathir, yang terkenal dengan Tafsir al-Quran al-`Azim atau dikenali dengan Tafsir Ibn Kathir. Bacalah buku al-Tafsir wa al-Mufassirun, karangan al-Syeikh Husain al-Zahabi, dalamnya diceritakan bagimana Ibn Kathir begitu mencintai gurunya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan banyak berpegang dengan fatwanya.

Kemunculan al- Imam Ibn Kathir, al-Imam al-Zahabi, al-Imam Ibn al-Qayyim dan lain-lain adalah antara sumbangan besar Ibn Taimiyyah dalam bidang kesarjanaan Islam.

Musuh-musuh ahli sunnah mengetahui hal ini, mereka berusaha merobohkan khazanah ini.

Para pembaca sesebuah buku atau tulisan hendaklah mengambil sikap berhati-hati, apatah lagi jika dia bukan seorang pengkaji yang dapat menyemak apa yang ditulis.

Berpeganglah kepada ajaran Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ(6)

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seseorang fasik membawa berita, maka selidikilah, agar kamu tidak menimpakan (hukuman) kepada sesuatu kaum dengan secara jahil, lalu kamu akan menyesal”.

Saya tertarik dengan apa yang dipetik oleh al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) dalam kitabnya `Ulum al-Hadith:
“Entah berapa ramai di kalangan ulama yang telah melangkah kaki mereka di dalam syurga sejak seratus atau dua ratus tahun yang lalu, sedangkan kamu menyebut dan mengumpat mereka” ( m.s. 390, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h telah pun pergi menemui Allah sejak tujuh ratus tahun lalu. Hidupnya dahulu dibaluti dengan perjuangan yang penuh ikhlas.
Para ulama hadith dan mereka yang mengenalinya memuji dan menghormatinya, seperti yang telah saya nyatakan dalam tulisan ini, bahkan lebih dari itu.
Sesiapa yang menghina dan mencerca Ibn Taimiyyah di zaman ini, akan berdiri bertanggungjawab di hadapan mahkamah Allah Yang Maha Adil di akhirat.
Mereka mesti bertanggungjawab di atas segala perkataaan yang dilempar kepada tokoh ulama yang mulia itu, yang menyampaikan ilmu, menulis, berjihad dengan pedang menentang tentera kuffar Monggol dan berbagai jasanya yang tidak mampu disukat.

Semoga Allah memelihara kita semua dari kegelinciran dan disesatkan oleh golongan yang jahat.

1 Hasan al-Saqqaf, Sahih Sifat Salat al-Nabi, m.s. 294, cetakan: Dar al-Imam al-Nawawi, Jordan

2 lihat m.s. 111.

3 Abu Hasan `Ali al-Nadwi, Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah, m.s. 213 cetakan Dar al-Qalam, Kuwait.

4 Ibid, m.s. 215.

5 m.s. 75

6 Al-Imam al-Sayuti, Tabaqat al-Huffaz, m.s. 516, cetakan Maktabah Wahbah, Mesir.

7 m.s. 76

8 al-Zarqani, Manahil al-`Urfan, jilid 1, m.s. 109, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut

9Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Durar al-Kaminah, jilid1, m.s.155, cetakan: Dar al-Turath al-`Arabi, Beirut

10 ibid, jilid 1, m.s. 158-159

11 Al-Imam al-Zahabi, Tazkirah al-Huffaz, jilid 4, m.s. 1496, cetakan Haidar Abad, India.

12 Abu Zahrah, Tarikh al-Mzahib al-Islamiyyah, m.s. 648, cetakan Dar al-Fikr al-`Arabi, Mesir

13 Imdad al-Fattah, bi Asanid wa Marwiyat al-Syeikh `Abd al-Fattah, m.s. 657, cetakan: Maktabah al-Imam al-Syafi’i, Riyadh

14 Al-Tahanawi, Qawaid fi `Ulum al-Hadith, m.s. 442, cetakan Dar al-Salam, Kaherah.